Monday, September 21, 2009

Kenyataan Perdana Menteri

Kenyataan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sempena Hari Malaysia:
Membina Harapan Yang Lebih Cemerlang Untuk Semua Rakyat Malaysia
Hari ini empat puluh enam tahun yang lalu, Sabah dan Sarawak bersatu dengan Semenanjung Malaysia untuk menjayakan apa yang kini dikenali sebagai Malaysia moden. Tatkala kita menyambut ulang tahun ini, penting juga bagi kita mengingati masa silam kita bersama-sama termasuk sumbangan Sabah dan Sarawak yang amat diperlukan itu terus diberikan kepada pembangunan negara. Dengan mengingati pengajaran ini, kita juga mesti menumpukan seluruh perhatian kepada pembinaan masa hadapan yang lebih cemerlang. Pada Hari Malaysia ini, saya gembira sekali berkongsi pemikiran saya tentang sumbangan Sabah dan Sarawak, termasuk wawasan saya untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang kepada semua rakyat Malaysia.
Sabah dan Sarawak adalah dua negeri terbesar kita, yang terpisah oleh lautan, namun amat penting kepada impian yang dipegang oleh semua rakyat Malaysia bagi sebuah negara yang bersatu dan harmoni. Terdapat banyak contoh yang bersemangat dan bertenaga untuk menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan asal usul keturunan etnik boleh sama-sama menerima banyak perkara yang menyatukan kita, dan bukannya membiarkan beberapa perkara kecil yang memecahbelahkan terus memisahkan kita. Kisah Sabah dan Sarawak ialah kisah 1Malaysia, dan ia telah memberikan saya maklumat dan inspirasi kepada komitmen saya terhadap konsep ini. Ia adalah bukti kepada hakikat bahawa perbezaan itu telah menyatukan negara ini, dan kekuatan sebenar Malaysia terserlah apabila rakyat Malaysia daripada semua bangsa, agama dan keturunan saling hidup dalam harmoni antara satu sama lain.
Bila saya menyaksikan perayaan Gawai Dayak di rumah panjang di Sarawak dan merasakan perpaduan yang teguh di kalangan semua rakyat Sarawak seperti mana yang saya rasakan semasa dalam lawatan dua hari saya baru-baru ini, tidak dapat tidak saya memikirkan bahawa kita kini semakin hampir kepada perpaduan 1Malaysia yang saya telah bertekad untuk capai. Malahan, saya telah merumuskan bahawa rakyat Sarawak telah pun menerima pakai nilai 1Malaysia, lama sebelum saya menjelaskan tentang pelbagai unsur di dalamnya. Contoh ini telah merangsang komitmen saya, dan saya percaya, meninggalkan impak yang penting dan mendalam kepada pembangunan Malaysia. Rakyat Malaysia daripada mana-mana jua bangsa dan fahaman hanya perlu melihat Sabah dan Sarawak untuk memahami perpaduan yang amat sukar dipercayai begitu kukuh dan harmoni yang boleh didapati dalam menerima dan menghormati kelainan rakyat kita.
Sungguhpun kita sebagai rakyat Malaysia, telah banyak mempelajari daripada negeri kita yang paling timur ini tentang pencapaian impian kita terhadap satu negara yang bersatu padu dan harmoni, tetapi ini bukanlah cerita yang sepenuhnya. Kita juga mesti berterima kasih kepada kedua-dua negeri ini atas apa saja yang mereka tunjukkan kepada kita tentang bekerja bersama-sama ke arah masa hadapan yang lebih cemerlang. Sejak menyertai Semenanjung Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak telah memainkan peranan yang utama dalam pembangunan ekonomi Malaysia, dan peranan itu terus berkembang. Walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar, kedua-dua negeri ini juga memperlihatkan jaminan yang lebih besar dari segi potensi sumbangan mereka untuk mencapai hasrat menjadi negara Malaysia yang mampu diri, stabil dan dengan ekonomi yang bertenaga pada 2020, seperti yang telah digariskan dalam Wawasan 2020.
Dalam kunjungan saya ke Sabah baru-baru ini, saya melihat satu wawasan masa hadapan Sabah dan Sarawak yang lebih baik. Walaupun Sabah telah mengalami pertumbuhan yang pesat dalam keseluruhan sektor ekonominya, setelah mengalami kurang pembangunan beberapa tahun lamanya, namun apa yang paling menarik perhatian saya ialah semangat keusahawanan dan membawa pembaharuan yang saya lihat ada pada rakyat Sabah dalam usaha pembangunan mereka bagi satu industri ekopelancongan yang berkembang maju. Semangat ini, yang saya percaya dikongsi oleh semua rakyat Malaysia, telah mendorong pertumbuhan yang hebat dalam ekopelancongan dan sedang menjadikan Sabah penyumbang penting kepada ekonomi negara.
Hakikatnya, Sabah telah mengambil langkah-langkah untuk berubah daripada ekonomi yang sebahagian besarnya bergantung kepada eksport berasaskan sumber yang tidak boleh diperbaharui, ke arah eksport yang berasaskan sektor perkhidmatan yang berkesinambungan. Impak yang paling utama berhubung perubahan ini ialah kesannya terhadap kehidupan rakyat Sabah, yang akan mendapat faedah daripada opsyen pekerjaan jangka panjang yang berkekalan yang tidak akan hilang begitu saja apabila sumbernya telah berkurangan. Itu belum lagi disentuh tentang impak positif ke atas alam sekitar dan pemuliharaan habitat alam semula jadi.
Seperti yang telah saya gariskan dalam pemikiran saya, negeri ini mempunyai impak yang berkekalan dan penting kepada pembangunan Malaysia dan kita semua telah pelajari daripada contoh mereka. Memang benar Sabah dan Sarawak telah mengalami pertumbuhan yang sungguh mengesankan, namun mereka memerlukan bantuan kerajaan untuk mencapai potensi mereka yang sebenarnya. Pada masa ini, kemajuan ekonomi di kedua-dua negeri ini tersekat oleh rangkaian pengangkutan yang tidak mencukupi, sekolah yang kekurangan dana dan bekalan perkhidmatan yang tidak mencukupi. Oleh sebab itulah, saya telah memperluas bantuan kewangan kerajaan pusat kepada pihak-pihak berkuasa tempatan di Sabah dan Sarawak. Dana-dana ini, dan pelaburan masa hadapan, akan disampaikan secara langsung di mana-mana yang benar-benar memerlukan - dana-dana ini akan digunakan untuk projek prasarana penting, bekalan perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan dan untuk penambahbaikan peluang pendidikan terutama di kawasan-kawasan luar bandar, yang kesemuanya akan diberikan faedah serta merta dan berkekalan.
Projek Hidroelektrik Negara Bakun di Sarawak ialah satu contoh. Projek empangan kedua tertinggi di dunia yang menakjubkan, mempunyai permukaan konkrit yang diisi dengan batu dengan keluasan permukaan berukuran sekitar Singapura. Projek ini akan menjana 2,400 megawatt tenaga bersih secara berkekalan, menjadikannya projek kuasa yang terbesar di Asia Tenggara. Kumpulan pemaju akan bekerja dengan masyarakat setempat untuk menyediakan kawasan-kawasan untuk mempamerkan kraftangan tempatan dan mempunyai rancangan untuk mewujudkan jejak alam semula jadi dan taman eko di kawasan-kawasan sekelilingnya untuk menampung lagi keperluan masyarakat setempat.
Untuk membina satu Malaysia yang bersatu padu dan harmoni dengan masa hadapan yang cemerlang, kita mesti membangunkan negara kita sebagai 1Malaysia. Pelaburan yang diperbaharui dan diperluaskan bagi masa hadapan Sabah dan Sarawak yang telah saya cadangkan adalah satu langkah ke arah itu. Dengan melaksanakannya akan memastikan kita memberikan peluang yang sama kepada semua dan meningkatkan kehidupan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau ceruk rantau Malaysia yang mereka pilih untuk menjadi tempat kediaman mereka. Pada akhirnya nanti, sama ada kita tinggal di rumah panjang di pedalaman atau di bangunan tinggi di Kuala Lumpur, kita semua adalah rakyat Malaysia dan kita semua adalah sebahagian daripada 1Malaysia yang kita cintai.

No comments: